7:14 AM

SISTEM PENDIDIKAN SEBELUM KEDATANGAN INGGERIS

Sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu bermula sejak awal kurun ke 19 atau akhir kurun ke 18 dengan pengaruh yang dibawa dari Patani, Sumatera, Jawa dan Acheh. Kaedah pengajarannya adalah mengikut kaedah yang dijalankan di Masjidil Haram di Mekah.

Pendidikan tak formal dipercayai berkembang bersama-sama dengan penyebaran agama Islam di TM dan kepulauan Melayu pada abad 14. Pedagang-pedagang Arab Islam telah menyebarkan ke kawasan Asia Tenggara dan merupakan pelopor usaha pendidikan tak formal dengan cara membina sekolah-sekolah pondok di negeri Perlis, Kedah, Terengganu, Kedah dan Brunei.

Antara ciri-ciri pengajian pondok ialah pengajian agama biasa diadakan di surau atau masjid pada waktu malam dengan dihadiri oleh orang dewasa lelaki dan perempuan. Pondok adalah sistem pengajian yang lebih sistematik. Didirikan atas usaha alim ulama dan masyarakat tempatan. Berhampiran adalah rumah tuan guru dan asrama pelajar.

Lokasi pondok sering ditemui di kawasan berhampiran pantai dan sungai. Dibina daripada papan dan daun nipah atau rumbia dan kumudahan kelas hanya terdiri daripada papan (slate) dan galam. Meja dan bangku dibuat sendiri oleh pelajar. Pelajar–pelajar menjalankan kerja seperti bertani, menangkap ikan, mencari kayu api, mengangkat air bagi membantu tuan guru menyara kehidupan mereka.

Perkembangan pengajian pondok merujuk kepada Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Sistem ini mula berkembang pesat pada tahun 1909 sehingga Perang Dunia Kedua. Antara tahun 1910 hingga 1045 M boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan.Pondok pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya ulama’-ulama’ terkenal yang mengharumkan nama negari kelantan. Ada sesetengah pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari seribu orang.

Pada sekitar tahun 1900, Pendidikan pondok telah mendapat persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang ditaja oleh British. Sekolah sekular ini telah dibina di Kota Bharu pada tahun 1904. British telah menggunakan berbagai cara untuk menarik minat rakyat ketika itu kepada sekolah sekular. Antaranya dengan mengatakan sekolah berbentuk pondok itu adalah primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha British tidak begitu berjaya. Walaupun pada tahun 1950 – 1970 an, sistem pondok masih mendapat sambutan dari orang ramai, akan tetapi pada hakikatnya selepas tahun 1945, ia merupakan zaman kemalapan dalam sistem pengajian pondok. Dengan ini dapatlah dirumuskan bahawa selepas kedatangan Jepun, pengaruh pondok telah mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit. Keadaan ini semakin berterusan hingga setelah negara mencapai kemerdekaan.

Antara sebab utama yang membawa kemunduran institusi pondok ialah telah timbul perubahan-perubahan di dalam perkembangan pendidikan Islam di Kelantan. Ini kerana pada masa itu telah muncul sekolah-sekolah Agama (Arab) Majlis Agama Islam (MAIK), sekarang telah diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar di bawah Kerajaan Negeri yang lebih teratur dan selesa daripada pondok. Pendidikan pondok banyak memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan terutamanya di Malaysia.

Antaranya ialah dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa. Contohnya di Kelantan, para pemimpin negeri atau peringkat kawasan kebanyakan pemimpin daripada para ahli ulama’. Maka dengan ini penerapan nilai murni dari segi rohani dan jasmani dapat diterapkan terus kepada rakyatnya.

Seterusnya juga, sistem pengajian ini dapat melahirkan para pelajar yang berakhlak mulia dan berdisiplin dalam tatacara hidupan hariannya. Institusi pengajian agama yang amat disanjung tinggi oleh ibu bapa di samping mereka menaruh kepercayaan penuh kepada sistem ini kerana pelajar lepasan pondok amat dihormati dan mereka adalah alim ulama’ yang akan membimbing masyarakat. Institusi ini juga telah melahirkan ramai cerdik pandai yang terkenal di rantau ini.

Comments (0)

Post a Comment